Al-kindi merupakan tokoh falsafah Islam pertama berketurunan Arab. Nama penuhnya ialah Abu Yusuf Yakub ibn al-Shabbah ibn Imran ibn Muhammad ibn al-Asy’as ibn Qais al-Kindi. Beliau digelar al-Kindi berdasarkan nama suatu kabilah dari Bani Kahlan yang menetap di Yaman (Hasyimsyah 2002 : 15). Beliau lahir di Kufah sekitar 185 H (801 M). Ayahnya Ishaq ibn al-Shabbah adalah gabenor Kufah pada pemerintahan al-Mahdi dan al-Rasyid. Namun ayah meninggal dunia ketika beliau masih kecil (al-Ahwani 1962 : 63). Semasa kecilnya, al-Kindi belajar membaca al-Quran, tulis-menulis dan ilmu hisab. Kegemaran dan kecemerlangannya dalam pelbagai bidang disiplin ilmu telah mendorongnya untuk mencari ilmu pengetahuan yang lebih banyak di Basrah dan berhijrah ke Baghdad (Shahibuddin 2006 : 3-4).
Al-Kindi dikatakan menghasilkan
lebih 250 karya dalam bidang falsafah, etiak, logik, aritmetik, geologi, muzik,
astronomi dan lain-lain. Antara karya dalam bidang logik ialah al-Madkhal
al-Mantiqy dan Syarh al-Tahlilat al-Thaniah. Karya-karya al-Kindi telah
diterjemahkan dalam bahasa Latin dan banyak mempengaruhi pemikiran Abad
Pertengahan Eropah (Ahmad Sunawari 2008 : 213-214). Ibn al-Nadim mendedahkan
kecenderungan karya al-Kindi disebabkan sains semulajadi. Hanya beberapa manuskrip
adalah keluaran sastera (Leaman & Nasr 1996 : 165).
Falsafah merupakan pengetahuan
tentang hakikat segala suatu, dan ini mengandungi teologi (al-rububiyah), ilmu
tauhid, etika dan seluruh ilmu pengetahuan yang bermanfaat. Kebanyakan definisi
falsafah al-Kindi dikumpulkan daripada karya-karya Aristoteles (Ridah 1950 : 211). Antara falsafah al-Kindi
ialah berkaitan ketuhanan, alam, jiwa dan akal. Falsafah ketuhanan al-Kindi
merupakan yang utama dibincangkan, namun penafsiran al-Kindi mengenai Tuhan
sangat berbeza dengan pendapat Aristoteles, Plato dan Plotinius. Mengenai hakikat
ketuhanan ia mengatakan bahawa Tuhan adalah wujud yang Esa, tidak ada sesuatu
benda yang menyerupai Tuhan, dan Tuhan tidak melahirkan ataupun dilahirkan (Harun 1973 :
15).
Kesimpulannya, al-Kindi merupakan seorang tokoh falsafah yang telah
memberi sumbangan yang besar dalam pelbagai bidang disamping memartabatkan syiar
Islam. Oleh itu, generasi hari ini haruslah memanfaatkan karyanya sebagai panduan
dalam kehidupan seterusnya ke arah makrifatullah.
RUJUKAN
Ahmad Sunawari Long. 2008. Sejarah Falsafah. Edisi ke-2.
Bangi: Penerbit UKM.
al-Ahwani, Fu’ad. 1962. al-Falsafat al-Islamiyyat. Kairo:
Dar al-Qalam.
Harun Nasution. 1973. Filsafat dan Mitisisme dalam Islam.
Jakarta: Bulan Bintang.
Hasyimshah Nasution. 2002. Filsafat Islam. Jakarta: Gaya
Media Pratama.
Leaman, O. & Nasr, S.H. 1996. History of Islamic Philosophy
Part 1. Jil.1. London: Routledge. Ridah, Abu. 1950. Rasa’il al-Kindi al-Falsafiyah. Kairo:
t.tp.
Shahibuddin Laming. 2006. Pemikiran al-Kindi: Pengaruh Terhadap
Intelektual Muslim di
Malaysia dan Indonesia. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Malaysia dan Indonesia. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
No comments:
Post a Comment