Thursday, October 9, 2014

TOKOH FALSAFAH ISLAM AL-KINDI



Al-kindi merupakan tokoh falsafah Islam pertama berketurunan Arab. Nama penuhnya ialah Abu Yusuf Yakub ibn al-Shabbah ibn Imran ibn Muhammad ibn al-Asy’as ibn Qais al-Kindi. Beliau digelar al-Kindi berdasarkan nama suatu kabilah dari Bani Kahlan yang menetap di Yaman (Hasyimsyah 2002 : 15). Beliau lahir di Kufah sekitar 185 H (801 M). Ayahnya Ishaq ibn al-Shabbah adalah gabenor Kufah pada pemerintahan al-Mahdi dan al-Rasyid. Namun ayah meninggal dunia ketika beliau masih kecil (al-Ahwani 1962 : 63). Semasa kecilnya, al-Kindi belajar membaca al-Quran, tulis-menulis dan ilmu hisab. Kegemaran dan kecemerlangannya dalam pelbagai bidang disiplin ilmu telah mendorongnya untuk mencari ilmu pengetahuan yang lebih banyak di Basrah dan berhijrah ke Baghdad (Shahibuddin 2006 : 3-4).

Al-Kindi dikatakan menghasilkan lebih 250 karya dalam bidang falsafah, etiak, logik, aritmetik, geologi, muzik, astronomi dan lain-lain. Antara karya dalam bidang logik ialah al-Madkhal al-Mantiqy dan Syarh al-Tahlilat al-Thaniah. Karya-karya al-Kindi telah diterjemahkan dalam bahasa Latin dan banyak mempengaruhi pemikiran Abad Pertengahan Eropah (Ahmad Sunawari 2008 : 213-214). Ibn al-Nadim mendedahkan kecenderungan karya al-Kindi disebabkan sains semulajadi. Hanya beberapa manuskrip adalah keluaran sastera (Leaman & Nasr 1996 : 165).

Falsafah merupakan pengetahuan tentang hakikat segala suatu, dan ini mengandungi teologi (al-rububiyah), ilmu tauhid, etika dan seluruh ilmu pengetahuan yang bermanfaat. Kebanyakan definisi falsafah al-Kindi dikumpulkan daripada karya-karya Aristoteles (Ridah 1950 : 211). Antara falsafah al-Kindi ialah berkaitan ketuhanan, alam, jiwa dan akal. Falsafah ketuhanan al-Kindi merupakan yang utama dibincangkan, namun penafsiran al-Kindi mengenai Tuhan sangat berbeza dengan pendapat Aristoteles, Plato dan Plotinius. Mengenai hakikat ketuhanan ia mengatakan bahawa Tuhan adalah wujud yang Esa, tidak ada sesuatu benda yang menyerupai Tuhan, dan Tuhan tidak  melahirkan ataupun dilahirkan (Harun 1973 : 15).

Kesimpulannya, al-Kindi merupakan seorang tokoh falsafah yang telah memberi sumbangan yang besar dalam pelbagai bidang disamping memartabatkan syiar Islam. Oleh itu, generasi hari ini haruslah memanfaatkan karyanya sebagai panduan dalam kehidupan seterusnya ke arah makrifatullah.


RUJUKAN
Ahmad Sunawari Long. 2008. Sejarah Falsafah. Edisi ke-2. Bangi: Penerbit UKM.
al-Ahwani, Fu’ad. 1962. al-Falsafat al-Islamiyyat. Kairo: Dar al-Qalam.
Harun Nasution. 1973. Filsafat dan Mitisisme dalam Islam. Jakarta: Bulan Bintang.
Hasyimshah Nasution. 2002. Filsafat Islam. Jakarta: Gaya Media Pratama.
Leaman, O. & Nasr, S.H. 1996. History of Islamic Philosophy Part 1. Jil.1. London:  Routledge.        Ridah, Abu. 1950. Rasa’il al-Kindi al-Falsafiyah. Kairo: t.tp.
Shahibuddin Laming. 2006. Pemikiran al-Kindi: Pengaruh Terhadap Intelektual Muslim di 
              Malaysia dan Indonesia. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.




Sunday, October 5, 2014

Pentakrifan Falsafah

Falsafah ialah satu disiplin ilmiah yang mengusahakan kebenaran yang umum dan asas. Perkataan falsafah dalam bahasa Melayu berasal daripada bahasa Arab فلسفة yang juga berasal daripada perkataan yunani philosophia, yang bermaksud "cinta kepada hikmah". Secara umumnya, falsafah mempunyai ciri-ciri seperti berikut:
  • Merupakan satu usaha pemikiran yang tuntas,
  • Tujuannya adalah untuk mendapatkan kebenaran
Sehingga kini, ahli-ahli falsafah masih belum mencapai kata sepakat mengenai takrifan falsafah. Malah ada yang mengatakan bahawa falsafah merupakan sesuatu yang tidak dapat ditakrifkan. Ini adalah kerana kita dapat berfalsafah tentang pengertian falsafah1. Maka dengan itulah kita akan menemui pendapat yang berbeza-beza mengenai takrif falsafah di antara ahli-ahli falsafah itu sendiri Bagi rujukan umum, di sini kita hanya mengambil satu contoh takrif falsafah daripada Drs. Sidi Gazalba:Berfalsafah ialah mencari kebenaran dari kebenaran untuk kebenaran, tentang segala sesuatu yang dimasalahkan, dengan berfikir secara radikal, sistematik dan sejagat. Apabila seseorang berfikir demikian dalam menghadapi masalah dalam hubungannya dengan kebenaran, adalah orang itu telah memasuki falsafah. Penuturan dan uraian yang tersusun oleh pemikirannya itu adalah falsafah2. Daripada pendapat tersebut, rumusan dapat dibuat bahawa falsafah seharusnya ditanda dengan caranya iaitu berfalsafah, dan juga masalahnya iaitu persoalan falsafah. Maka hasilnya adalah karya falsafah.

Thursday, October 2, 2014

Fenomena Lemahnya Iman


Fenomena lemah iman termasuk sesuatu yang sudah merebak dan tersebar luas dalam kalangan kaum Muslimin. Sementara itu, ramai yang mengadu kerana kekerasan hatinya yang diucapkan berkali-kali dapat dilihat melalui ungkapan-ungkapan mereka, seperti; Aku merasakan adanya kekerasan di dalam hatiku, Aku tidak pernah mendapatkan kenikmatan dalam beribadah, Aku merasakan bahawa iman di dalam hati ini seakan-akan berada di dalam jurang, Aku tidak terpengaruh oleh bacaan Al-Quran dan Mengapa mudah sekali aku terjerumus ke dalam kederhakaan?
Sesungguhnya penyakit lemah iman itu mempunnyai beberapa tanda dan fenomena, di antaranya:


[Pertama] { Melakukan kederhakaan dan dosa }
Di antara orang yang derhaka ada yang melakukan kederhakaan secara terus-menerus. Di antara mereka ada pula yang mengerjakan berbagai jenis kederhakaan. Keterlaluan melakukan kederhakaan boleh berubah menjadi kebiasaan yang tidak dapat ditinggalkan, seterusnya menjadikan hati sirna daripada merasai kesan buruk kederhakaan itu, dan akhirnya pelakunya berani berbuat secara terang-terangan, sehingga dia termasuk ke dalam golongan yang disebutkan di dalam hadis ini; 
“Setiap umatku mendapat perlindungan afiat kecuali orang-orang yang terang-terangan. Dan, sesungguhnya termasuk perbuatan terang-terangan jika seseorang melakukan suatu perbuatan pada malam hari, kemudian dia berada pada pagi hari, padahal Allah telah menutupinya, namun dia berkata, ‘Hai fulan, malam tadi aku telah berbuat begini dan begini’, padahal Rabb-nya telah menutupinya, namun kemudian dia menyelak sendiri apa yang telah ditutupi Allah pada dirinya.”
[Riwayat Bukhari]

[Kedua] { Merasakan adanya kekerasan dan kekakuan hati }
Kerana perasaan ini, seseorang merasakan seakan-akan hatinya telah berubah laksana batu keras yang hampir mustahil diusik dan dipengaruhi sesuatu pun. Allah telah berfirman:
“Kemudian setelah itu, hatimu menjadi keras seperti batu, bahkan lebih keras lagi.”
[Al-Baqarah: 74]
Orang yang hatinya keras tidak mampu depengaruhi dengan nasihat tentang kematian, tidak pula terpengaruh tatkala dia melihat orang mati atau mayat yang membujur. Bahkan boleh jadi dia sendiri yang mengangkat mayat itu dan mengurungnya di liang kubur, tetapi langkah-langkah kakinya di antara sekian banyak kuburan tidak ubah langkah-langkah kakinya di antara longgokan batu.

[Ketiga] {Tidak tekun dalam beribadah}
Antara tandanya ialah tidak khusyuk serta hilang tumpuan semasa solat, membaca al-Quran, berdoa dan lain-lain. Tidak memahami dan memikirkan makna-makna doa, sehingga dia membacanya hanya sekadar rutin yang sudah tentu membosankan. Boleh jadi kerana doa yang dibacanya hanya terbatas kepada doa-doa tertentu sahaja. Padahal Allah Subha Nahu Wa Ta’ala tidak menerima doa yang dibaca hanya sekadarnya sahaja, sebagaimana yang disebut dalam sebuah hadis:
“Tidak akan diterima doa dari hati yang lalai dan main-main.”
[At-Tarmizi]

[Keempat] { Malas untuk melakukan ketaatan dan ibadah serta meremehkannya.}
Kalaupun ibadah itu dilakukan, itu hanya sekadar aktiviti yang kosong tanpa roh. Berdasarkan larangan Allah terhadap orang-orang munafik dalam firman-Nya;
“Dan, apabila mereka berdiri untuk solat, mereka berdiri dengan malas.”
[An-Nisa’: 142]
Termasuk dalam kelompok perbuatan ini ialah tidak memperdulikan hilangnya tanda-tanda kebaikan dan meremehkan waktu-waktu untuk ibadah. Hal ini menunjukkan tidak adanya perhatian seseorang untuk mendapatkan pahala daripada Allah Subha Nahu Wa Ta’ala. Contohnya, menunda-nunda perlaksanaan haji, padahal dia mampu, mundur daripada medan peperangan dan hanya duduk di rumah sahaja, atau pun menunda-nunda ikut solat berjemaah, juga solat jumaat. Padahal Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam pernah bersabda: 
“Masih ada sahaja segolongan orang yang menunda-nunda mengikuti saf pertama, sehingga Allah pun menunda keberadaan mereka di dalam neraka.”
[Riwayat Abu Daud]
Gambaran ini menunjukkan perasaannya sama sekali tidak tersentuh jika dia tertidur hingga meninggalkan solat wajib, begitu pula jika ketinggalan melakukan sunat rawatib atau wirid. Dia juga tidak berhasrat untuk menqadha atau mengganti apa yang ketinggalan itu, bahkan boleh jadi dia sengaja meninggalkan yang sunat atau fardhu kifayah. Tidak berhasrat untuk mendapatkan pahala dan tidak berhajatkannya. Gambaran ini bertentangan dengan orang-orang yang disifati Allah Subha Nahu Wa Ta’ala di dalam firman-Nya;
“Sesungguhnya mereka adalah orang-orang yang selalu bersegera dalam (mengerjakan) perbuatan-perbuatan yang baik dan mereka berdoa kepada Kami dengan harap dan cemas. Dan, mereka adalah orang-orang yang khusyuk kepada Kami.”
[An-Anbiya’: 90]
Di antara berbagai fenomena kemalasan dalam amal taat ialah kemalasan dalam melaksanakan ibadah-ibadah rawatib, solat malam, solat dhuha atau solat-solat nafilah yang lain serta melengah-lengahkan datang ke masjid. Hatinya sama sekali tidak terketuk untuk melakukan semuanya itu, apalagi untuk mengerjakan dua rakaat solah taubat dan solah istikarah. 

[Kelima] { Dada yang terasa menyesak, perubahan perilaku dan tabiat yang terbelenggu. }
Sehingga seakan-akan seseorang merasa beban berat yang menghimpitnya. Sehingga dia cepat menjadi resah dan gelisah kerana suatu masalah yang remeh sahaja, dan sirnanya rasa lapang dalam hatinya. Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam telah mensifati iman sebagai berikut:
“Iman itu ialah kesabaran dan kelapangan hati.”
[As-Silsilah Ash-Shahihah]

[Keenam] { Tidak tersentuh oleh kandungan ayat-ayat Al-Quran }
Tidak tersentuh dengan janji, ancaman, perintah, pensifatan kiamat dan lain-lainnya di dalam Al-Quran. Orang yang lemah imannya akan menjadi bosan dan malas untuk mendengarkan kandungan isi Al-Quran, dan tidak berusaha untuk membuka dirinya untuk berhubung secara langsung dengan bacaan Al-Quran. Sekiranya dia membuka mushaf, isi kandungannya tidak diperhatikan dan diberi perhatian.

[Ketujuh] { Melalaikan Allah dalam hal berzikir dan berdoa. }
Berzikir menjadi satu pekerjaan yang berat bagi dirinya. Jika mengangkat tanganya untuk berdoa, maka secepat itu pula dia menelangkupkan tangannya dan menyudahinya. Firman Allah terhadap orang-orang munafik dalam firman-Nya:
“Dan, mereka tidak menyebut Allah kecuali hanya sedikit sekali.”
[An-Nisa’: 142]

[Kelapan] { Tidak adanya tanggungjawab untuk beramal demi kepentingan Islam. }
Tidak mahu berusaha untuk menyebarkannya dan menolongnya. Keadaan ini berbeza dengan para sahabat Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam. 
Seorang pemuda , Ibnu Amr Radhiyallahu ‘Anhu langsung beranjak melakukan dakwah kepada kaumnya sebaik sahaja memeluk Islam. Tetapi majoriti orang-orang pada zaman sekarang ini hanya duduk senang dan tidak memiliki rasa tangunggjawab untuk melakukan dakwah meskipun sudah sekian lama bergelar seorang Muslim.

Rujukan: Obat Lemahnya Iman, Muhammad Sholih Al-Munajjid